Kuching, 17 Ogos – Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengumumkan kesediaan Sarawak untuk menjadi tuan rumah bersama bagi Sukan SEA 2027.
Beliau menyampaikan hasrat ini kepada Menteri Belia dan Sukan Malaysia, Hannah Yeoh, semasa Majlis Perasmian Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XXI Sarawak 2024 yang berlangsung malam ini.
Dalam ucapannya, Abang Johari turut menekankan kepentingan SUKMA dalam memupuk semangat patriotisme dan kebanggaan negara.
Menurut beliau, penyertaan pelbagai negeri dan etnik dalam temasya sukan ini bukan sahaja membantu mengeratkan hubungan antara rakyat Malaysia dari pelbagai latar belakang, tetapi juga mempamerkan kepelbagaian budaya dan tradisi yang unik di Sarawak.
"Sebab itu, di Sarawak ini, saya syorkan lokasi-lokasi pertandingan diadakan di bahagian lain untuk mendedahkan anak-anak muda kita kepada kepelbagaian budaya dan kaum etnik yang ada di Sarawak," tambah beliau.
Abang Johari mencadangkan supaya lokasi-lokasi seperti Mukah, Betong, Miri, Sibu, dan Kuching dipilih untuk pertandingan, dengan setiap kawasan mewakili kepelbagaian kaum seperti Melanau, Iban, Orang Ulu, Cina, dan pelbagai kaum di Kuching.
Penganjuran SUKMA XXI juga, katanya, memberikan manfaat besar kepada ekonomi tempatan, khususnya dalam industri perkhidmatan.
"Banyak faktor-faktor positif yang kita perolehi daripada penganjuran SUKMA ke-21 ini," katanya lagi.
Dalam acara tersebut, Abang Johari turut memberikan penghargaan kepada para atlet yang telah berusaha keras dalam latihan dan persediaan untuk bersaing dalam 488 acara yang dipertandingkan.
Beliau juga mengingatkan para atlet untuk menghadapi setiap cabaran dengan semangat yang tinggi dan tidak berhenti berusaha untuk mencapai kejayaan.
Majlis perasmian tersebut turut dihadiri oleh Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta isteri Toh Puan Fauziah Sanusi, isteri Premier Sarawak Puan Sri Datuk Amar Hajjah Juma’ani Tun Tuanku Haji Bujang, Menteri Belia dan Sukan Malaysia Hannah Yeoh, serta dif-dif kenamaan yang lain.